Tuesday, 26 March 2013

Kata Majmuk...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Bagi entri kali ini, kita sama-sama akan meneliti tentang aspek kata majmuk dalam bahasa Melayu. Kata nama majmuk ini sebenarnya terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata nama majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu tidak boleh disisipkan sebarang unsur.

Baiklah, buat pengetahuan kita bersama, kata nama majmuk dalam bahasa Melayu ini sebenarnya besar jumlahnya. Kata nama majmuk dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu yang pertama ialah kata nama majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas seperti guru besar, tengah hari, urus setia, dan atur cara. Jenis kata majmuk yang kedua ialah kata majmuk yang merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah seperti deria rasa, temu duga, dan cari gali manakala, jenis yang ketiga pula ialah kata majmuk yang mendukung maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa sepert cakar ayam, pilih kasih, dan bulan madu.

Selain itu, terdapat juga bentuk kata majmuk yang telah mantap. Kata majmuk yang telah mantap ini bermaksud bahawa terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh walaupun perkataan tersebut mempunyai dua kata dasar. Sebagai kata majmuk yang utuh, kedua-dua perkataan tersebut dieja secara bercantum sebagai satu perkataan. Antaranya ialah:

antarabangsa
pesuruhjaya
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
warganegara
olahraga
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
matahari

Sekiranya kita perasan, terdapat juga kesalahan penggunaan kata majmuk yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita, terutamanya dalam penulisan di akhbar sebagai contoh. Walaupun seseorang wartawan itu mempunyai kemahiran untuk menulis sesuatu berita atau rencana dengan baik, tetapi didapati masih lagi terdapat kesalahan dalam penggunaan kata majmuk yang ditemui dalam penulisan yang dihasilkan. Umum mengetahui bahawa media massa seperti surat khabar merupakan salah satu sumber maklumat yang mudah didapati sejak dahulu lagi. Masyarakat diajar untuk memartabatkan bahasa Melayu sedangkan medium penyampaian maklumat yang berbahasa Melayu itu sendiri goyah praktiknya dalam bidang linguistik bahasa Melayu. Oleh itu, pihak editor sesuatu akhbar perlu melihat masalah yang berlaku ini dengan lebih mendalam agar masalah seperti ini dapat dibendung. Sama-samalah kita menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa ilmu yang terus disanjung tinggi.

Sekian, wallhu'alam...

Gambar 1: Kesalahan ejaan perkataan PASARAYA sebagai kata majmuk. Sepatutnya perkataan tersebut dieja secara terpisah, iaitu PASAR RAYA.




Monday, 18 March 2013

Bunga Bahasa...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada kali ini Puteh Melati (PM) ingin berbincang tentang peribahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. Peribahasa berfungsi untuk menyerikan sebarang bahasa dan memberikan nafas baru kepada bahasa sebagai alat perhubungan yang dinamis. Dinamis bermaksud bahawa bahasa tersebut boleh berubah-ubah dan tidak statik sifatnya. Pada zaman dahulu, peribahasa sering digunakan oleh orang Melayu untuk menyatakan sesuatu perkara. Peribahasa yang digunakan lazimnya terdiri daripada kata-kata kiasan atau sindiran. Hal ini dapat dilihat menerusi contoh peribahasa Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Sekiranya diteliti secara tersurat, peribahasa ini jelas menggambarkan bahawa janganlah mendirikan rumah atau tinggal di tepi pantai sekiranya takut dilambung ombak. Namun, secara tersiratnya peribahasa ini merupakan kiasan yang mengandung kata-kata sindiran yang bermaksud untuk memberi perangsang kepada orang-orang yang lemah, tetapi ingin mengerjakan sesuatu pekerjaan yang merbahaya. Oleh itu, jelaslah bahawa peribahasa ini mampu menggambarkan sesuatu maksud yang tersendiri dan bagi memahami maksud sebenar sesuatu peribahasa itu perlulah diteliti berdasarkan maksud tersiratnya, bukan hanya maksud tersurat peribahasa tersebut.

Tanpa disedari sebenarnya orang Melayu pada zaman dahulu sememangnya mempunyai daya kekreatifan yang agak tinggi danboleh disanjungi. Hal ini dapat dilihat menerusi kejayaan mereka mencipta pelbagai jenis peribahasa yang masih lagi digunakan hingga ke hari ini sesuai dengan peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sebenarnya, peribahasa dalam sesuatu bahasa mempunyai peranannya yang istimewa. Peribahasa bukan sekadar memperkaya khazanah bahasa, malahan lebih daripada itu. Hal ini demikian kerana, sesuatu peribahasa itu sebenarnya berperanan untuk menonjolkan pandangan hidup, nilai, sikap, cara berfikir dan kepekaan masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu terhadap persekitaran sekelilingnya. Jadi, tidak dapat dinafikan lagi bahawa sesuatu peribahasa itu terhasil daripada pandangan seseorang terhadap perkara-perkara yang berada di sekitarnya.

Oleh itu, sebagai warga yang perihatin terhadap keunikan bahasa, kita perlu menyanjung tinggi khazanah bahasa yang mempunyai ciri keunikannya yang tersendiri ini agar berkekalan pada masa hadapan. Jadi, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk memartabatkan keaslian bahasa kita dengan mempraktikkan penggunaannya dalam urusan kita seharian. Wassalam.

Sila klik imej untuk lebih memahami artikel ini.



Adab bermasyarakat.

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada kali ini Puteh Melati (PM) ingin berkongsi sedikit pengalaman berkaitan dengan masyarakat kita pada hari ini. Memandangkan hari ini PM hanya mempunyai satu kelas sahaja pada sebelah petang, jadi pada waktu tengah hari PM dan rakan tersayang pergi menjamu selera di sebuah kedai makan yang terletak berhampiran Pintu Selatan di institusi tempat PM menuntut ilmu.

Pada waktu tersebut, kelihatan begitu ramai warga tempatan yang singgah untuk menjamu selera di kedai makan berkenaan. Pelbagai jenis lauk-pauk yang telah disediakan untuk menarik atau membuka selera para pengunjung. Boleh dikatakan agak rambang mata jugalah untuk memilih juadah yang berkenan di hati. Harga yang dikenakan oleh pemilik kedai makan tersebut juga amat berpatutan dan hal ini membuatkan orang ramai gemar menjamu selera di kedai makan tersebut.



Hendak dijadikan cerita, terdapat sekumpulan remaja yang berusia sekitar awal 20-an turut menjamu selera di kedai makan berkenaan. Disebabkan hanya terdapat satu meja sahaja yang masih kosong, kebetulan pula meja itu terletak bersebelahan dengan kumpulan remaja tersebut, maka kami pun duduklah di situ untuk menjamu selera. Berdasarkan kepada pemerhatian PM, kumpulan remaja tersebut terdiri daripada lima orang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan. Kedengaran mereka begitu rancak sekali bersembang sesama mereka. Pelbagai topik yang mereka bincangkan. Bermula dengan perkara yang melibatkan pelajaran sehinggalah kepada perkara yang merapu-rapu. Mereka seolah-olah tiada urusan yang lebih penting untuk dilakukan. Kerancakan mereka bersembang itu tanpa disedari telah mengganggu ketenteraman  pelanggan lain yang sedang menjamu selera. Di tambah pula dengan ketawa terbahak-bahak yang menjengkelkan apabila disertai oleh remaja perempuan tersebut. Adakah remaja perempuan tersebut tidak berasa kekok apabila bergaul dengan lima orang remaja lelaki pada satu-satu masa? Nah, inilah lumrah remaja kita pada hari ini. Ada dalam kalangan mereka yang merokok di kedai tersebut sambil berborak-borak. Sedar atau tidak, perbuatan merokok di tempat awam merupakan sikap yang amat buruk kerana asap dan bau rokok yang yang dikeluarkan telah mengganggu persekitaran dan tambahan pula tempat tersebut merupakan kedai makan.

Sebagai rumusan, pada pandangan PM, kita perlu sedar bahawa kita menjalani kehidupan bermasyarakat. Jadi, kita masing-masing perlu berfikir tentang baik-buruk sesuatu perkara yang kita lakukan sebelum perkara tersebut menimbulkan rasa kurang sengan kepada orang di sekeliling kita. Wallahu'alam.

Sunday, 17 March 2013

Perpaduan teras pembanguan negara.





Perpaduan teras pembanguan negara


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, iaitu Tun Abdul Razak merupakan Bapa Perpaduan negara kita. Malaysia mencapai kemerdekaan pada awalnya juga didorong oleh semangat perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyatnya. Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, perpaduan merupakan faktor yang penting bagi memastikan pembangunan negara berjalan lancar. Hal ini demikian kerana sekiranya tiada sikap bersatu-padu dalam kalangan rakyat, maka segala usaha yang dilaksanakan akan terbantut sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebenarnya terdapat banyak kelebihan yang dapat dinikmati oleh rakyat sekiranya semangat perpaduan wujud dalam kalangan masyarakat sesebuah negara. Keadaan ini bersesuaian dengan slogan, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Lanjutan daripada ini, sekiranya rakyat dalam sesebuah negara saling membantu, maka akan wujud semangat untuk mengambil berat tentang masalah sesama kita. Oleh itu, semua masalah dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong boleh dilaksanakan di sesuatu kawasan petempatan dengan melibatkan seluruh penduduk di kawasan tersebut tanpa mengira kaum untuk membersihkan kawasan yang kotor atau semak. Jadi, tidak akan timbul rasa tidak puas hati sesama mereka kerana masing-masing mempunyai rasa tanggungjawab untuk melaksanakan perkara tersebut, bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Selain itu, perpaduan yang mantap dalam kalangan rakyat juga berupaya membuka mata para pelancong asing dari luar negara untuk melancong ke sini. Oleh itu, hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara melalui kemasukan pelancong asing tersebut. Perpaduan yang ditunjukkan dalam kalangan rakyat juga memberi imej yang positif kepada mereka dan keadaan ini akan membuatkan mereka mula mengagumi negara kita. Oleh itu, tidak mustahil pada masa akan datang, mereka akan kembali melancong ke negara kita. Jadi, sedikit-sebanyak melalui kemasukan pelancong-pelancong asing ini akan membuatkan negara kita mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seperti negara maju yang lain.


Konklusinya, kita sebagai rakyat yang sayang akan negara kita perlulah menjaga semangat perpaduan sesama kaum yang telah lama wujud di negara kita ini agar kedamaian yang ada di Malaysia ini dapat dikekalkan dan diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Oh..Fesyen!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Kebelakangan ini jika kita lihat, remaja mudah sungguh terpengaruh dengan gaya fesyen yang pelbagai dan kebanyakannya merupakan fesyen yang pelik-pelik. Kita juga selalu mendengar bahawa ada dalam kalangan remaja yang mudah melenting jika ditegur tentang cara mereka berfesyen. Ada antara mereka yang menjawab sebegini apabila ditegur, "Saya selesa dengan apa yang saya pakai  dan saya tidak peduli pada apa yang orang lain kata". Walaupun sebenarnya pakaian yang mereka pakai itu sememangnya menjolok mata. Tidak dapat dinafikan bahawa ada juga rakan-rakan kita sendiri yang berpakaian sedemikian. Oleh itu, kita perlu menegur mereka secara berhemah, bukannya dengan cara membuta tuli sahaja.

"Utamakan kelembutan dalam berbahasa"

Baiklah, bagi membuka minda rakan-rakan kita yang berfesyen secara keterlaluan itu, kita perlu bijak menangani mereka. Apabila mereka mengatakan "... tidak peduli dengan kata-kata orang lain", kemudian kita tambah lagi soalan itu kepada mereka, "Apa pula yang Allah kata?". Cuba kita tanya kepada mereka, "Tubuh badan awak yang sempurna ini, siapa yang berikan? Bayangkan awak bangun tidur pada keesokan harinya, kemudian awak langsung tidak boleh menggerakkan anggota badan awak. Apa yang awak mahu lakukan?"

Jika kita hanya memikirkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain, maka hubungan kita sesama insan akan musnah. Kita sebenarnya mempunyai hak dalam perhubungan untuk dijaga. Apabila kita mengenakan pakaian yang menjolok mata, sebenarnya kita melanggar hak manusia lain. Hal ini demikian kerana kita dalam ajaran Islam diamanahkan untuk menjaga mata dan penglihatan kita. Sekiranya hal yang sebaliknya berlaku, maka kita sebenarnya telah menzalimi diri kita sendiri.

Sebagai umat Islam, kita sebenarnya bertanggungjawab atas diri kita sendiri. Setiap kali kita berpakaian, kita mempunyai dua pilihan, sama ada mahu memilih syurga atau api neraka. Jadi, sama-samalah kita renung diri kita dan segera membuat perubahan ke arah perkara-perkara yang lebih baik dalam kehidupan.


Dialek dan semangat kenegerian.

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai latar belakang kehidupan rakyatnya yang berbeza-beza. Negara Malaysia terbahagi kepada beberapa buah negeri yang terletak di bahagian timur, barat, utara, dan selatan. Termasuk juga negeri Sabah dan Sarawak yang terletak di bahagian Malaysia timur. Oleh itu, bersadarkan kepada faktor geografi negeri-negeri tersebut, dialek atau bahasa daerah yang digunakan oleh penduduk di sesuatu kawasan itu berbeza dengan kawasan atau negeri yang lain. Di Malaysia terdapat pelbagai dialek atau bahasa daerah yang digunakan dalam proses berkomunikasi sesama masyarakat. Contohnya dialek Utara, Selatan, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, pelbagai bunyi perkataan yang akan dikeluarkan semasa proses komunikasi berlaku dalam kalangan masyarakat, terutamanya apabila berada di institusi pengajian tinggi. Hal ini demikian kerana para pelajar yang menuntut ilmu di universiti ini datang dari pelbagai negeri. Oleh itu, pelbagai bahasa daerah atau dialek yang akan kedengaran semasa mereka berkomunikasi. Situasi seperti ini sememangnya merupakan keunikan yang tersendiri yang terdapat di negara kita. Selain menyerikan suasana, kepelbagaian bahasa daerah atau dialek yang digunakan juga dapat meningkatkan pengetahuan kita tentang bahasa daerah yang lain yang terdapat di Malaysia. Jelaslah bahawa ilmu itu ada di mana-mana sahaja jika kita mahu mempelajarinya.

Namun begitu, terdapat juga dalam kalangan masyarakat kita yang kurang senang dengan penggunaan dialek yang pelbagai ini semasa proses komunikasi berlaku. Hal ini mungkin disebabkan dialek yang digunakan itu sukar untuk difahami bagi sesetengah orang. Sememangnya dialek tidak digunakan dalam urusan rasmi bagi memudahkan pemahaman semua pihak yang terlibat. Walau bagaimanapun, dialek sering digunakan semasa berkomunikasi sesama rakan pada kebiasaannya. Oleh itu, kita perlu mempunyai semangat ingin tahu atau perasaan dahagakan ilmu yang tinggi dalam diri supaya kita sentiasa inginkan pengetahuan tentang dialek negeri-negeri lain. Aktiviti bertukar-tukar pendapat tentang perbezaan dialek yang digunakan sedikit-sebanyak dapat mendekatkan kita dengan masyarakat lain. Jadi, penggunaan dialek yang berbeza-beza dalam urusan seharian, iaitu bukan urusan rasmi bukanlah satu permasalahan yang besar. Orang yang berfikiran sempit, masalah akan menjadi besar tetapi, orang yang berfikiran besar, masalah akan menjadi kecil. Oleh itu, benarlah kata pepatah 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.

Konklusinya, semua yang berlaku dalam diri kita sebenarnya bermula dalam minda kita. Jika kita bijak mengurus minda kita, maka perbuatan kita juga akan terurus dengan baik. Marilah sama-sama kita belajar untuk menghargai orang jika kita mahu orang menghargai kita.




Sunday, 10 March 2013

Lembut dalam teguran...


Assalamualaikum...

Cerita pada kali ini bekisar tentang sikap segelintir ibu bapa atau orang dewasa yang sering memarahi anak-anak mereka di hadapan khalayak atau saudara-mara mereka sendiri. Sebagai orang yang lebih tua dan mempunyai pengalaman hidup serta ilmu yang tinggi dalam kehidupan, kita sepatutnya tidak memiliki sifat sedemikian yang suka menengking atau merendah-rendahkan anak kita sendiri di hadapan orang ramai. Tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak perlu ditegur akan kesalahan yang mereka lakukan, namun cara untuk kita menegur mereka juga perlu kena pada tempatnya. Dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, terdapat juga ibu bapa yang sebenarnya sengaja menegur anak-anak tentang kesalahan yang dilakukan itu di hadapan saudara-mara kerana sifat ego ibu bapa itu sendiri. Bagi ibu bapa yang tidak dapat menerima pandangan orang lain, mereka lebih cenderung untuk menunjuk-nunjuk akan sifat 'jumud' mereka itu dihadapan saudara-mara mereka sendiri. Sebagai contoh, sekiranya sifat ego yang menebal dalam diri ibu bapa tidak dapat ditangani dengan berkesan, maka mereka langsung tidak akan mengalah di hadapan saudara-mara, terutamanya dalam soal mendidik anak-anak. Hal seperti ini yang menyebabkan mereka sanggup mengaibkan anak mereka sendiri di hadapan saudara-mara.

Perlu diingat, walaupun anak-anak langsung tidak melawan tindakan kita itu, akan tetapi kita sebagai orang yang lebih matang perlu menjaga air muka mereka di hadapan saudara-mara. Anak-anak yang kian meningkat dewasa seperti itu juga mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga. Takut-takut, suatu masa nanti anak-anak yang kita jatuhkan maruahnya itu hanya berkelakuan baik di hadapan kita sahaja, pijak semut pun tak mati. Di belakang kita, sebaliknya pula yang berlaku.

Oleh itu, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan dalam proses mendidik anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Kita perlu berlemah-lembut dalam menegur kesalahan yang telah mereka lakukan agar mesej yang ingin disampaikan itu dapat diterima dengan lancar dan jelas. Jika kita beri aura yang positif kepada mereka, InsyaAllah tindak balas positif juga yang akan kita terima daripada mereka. Wallahu'alam.

Wabak yang kian menular...

Assalamualaikum...

Bagi entri pada kali ini, kita terus menjurus kepada tajuk yang telah dipaparkan di atas, iaitu 'wabak yang kian menular'. Hah? Wabak apakah yang kian menular ini? Adakah wabak penyakit berjangkit seperti yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu? Tidak...tidak sama sekali. Wabak yang dimaksudkan oleh Puteh Melati(PM) ialah wabak atau penyakit kesalahan ejaan atau percampuran kod bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sedar atau tidak, gejala seperti ini kian menular dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Isu ini sememangnya perlu ditangani dengan kadar segera agar wabak ini dapat ditangkis daripada terus merayap dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, namun bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar di negara ini. Oleh yang demikian, kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar perlu dijaga kemurnian dan keasliannya agar bahasa ini mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Masyarakat pada hari ini perlu memainkan peranan masing-masing agar hal seperti ini tidak berleluasa. Sebagai contoh, sebelum satu-satu papan tanda itu dipamerkan kepada umum, pihak pengurusan yang terbabit perlu mendapatkan khidmat nasihat tentang aspek penggunaan tatabahasa yang betul daripada pakar bahasa terlebih dahulu. Jadi, lama-kelamaan masalah seperti ini akan dapat dikikis.



Masalah kesalahan ejaan atau percampuran kod bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ini dapat dilihat sekiranya kita sebagai warganegara, betul-betul meneliti setiap papan tanda yang kita lihat tidak kira sama ada di tepi jalan, di stesyen minyak atau di restoran sekalipun. Sebagai contoh dalam ayat berikut, 'tolong jangan letakkan kenderaan anda di hadapan pump angin'. Terdapat dua kesalahan bahasa dalam ayat tersebut, iaitu yang pertama ialah penggunaan ayat permintaan dan ayat larangan secara serentak. Perkataan 'tolong' dan perkataan 'jangan' tidak boleh digunakan secara serentak kerana perkataan 'tolong' tergolong dalam ayat permintaan manakala perkataan 'jangan' pula tergolong dalam ayat larangan. Kesalahan yang kedua ialah perkataan 'pump' dalam bahasa Inggeris sepatutnya dieja sebagai 'pam' dalam bahasa Melayu.

Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Jadi, sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita hendaklah sama-sama berganding bahu bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan segera menambahkan ilmu dalam bidang tatabahasa bahasa Melayu itu sendiri. Slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' perlu dibuktikan kesahihannya selari dengan makna yang terkandung di dalamnya.

Saturday, 9 March 2013

Ilmu itu ada di mana-mana sahaja...

Assalamualaikum...

Pada mulanya, kita tidak berupaya untuk menilai keperibadian seseorang dengan melihat kepada aspek luaran seseorang itu semata-mata. Namun begitu, ramai dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini masih berpegang kepada perkara yang sebegitu. Hal seperti ini berlaku atas beberapa faktor yang tertentu, misalnya cara pemikiran seseorang yang tinggal di kawasan bandar adalah amat berbeza dengan cara seseorang yang tinggal di kawasan luar bandar berfikir. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan tahap ilmu yang dimiliki oleh kedua-dua insan ini adalah berbeza. Insan yang banyak atau mendalam ilmunya tentang ilmu psikologi manusia misalnya, mampu mengawal pemikirannya dengan lebih baik berbanding dengan insan yang tidak ada ilmu sedemikian.

Lazimnya, terdapat perbezaan yang ketara antara mereka ini, terutamanya dari segi pemikiran dan tanggapan mereka terhadap orang lain. Sebagai contoh, A(tinggal di bandar). Sebagai warga kota, A mempunyai impian yang besar dalam hidupnya, iaitu untuk memajukan dirinya setelah melihat ramai warga kota yang lain mempunyai kehidupan yang lebih baik daripanya. Jadi, A sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah menyalahkan orang lain dalam menentukan hala tuju hidupnya walaupun A telah menempuh pelbagai cabaran dan halangan dalam usaha dia meningkatkan taraf hidup dirinya dari segi pendidikan, ekonomi, jaringan sosial dan tempat tinggal yang selesa. Cara pemikiran A untuk memajukan diri ke tahap yang lebih baik sering mendapat tentangan daripada kaum keluarganya yang tinggal di kawasan pedalaman. Nah, apabila berlaku sedemikian adakah A terus melupakan impiannya untuk mengubah hidupnya? Dengan ilmu yang dimiliki, A sama sekali tidak menghiraukan pandangan atau cakap-cakap kaum keluarganya yang sentiasa berfikiran negatif itu.

Bagi A, selagi perkara yang dilakukannya itu tidak bertentangan dengan hukum Islam, dia akan terus melakukannya. Adakah menjadi satu kesalahan sekiranya A mempunyai impian yang besar dalam hidupnya dan dia berusaha ke arah itu dengan jalan yang betul. Akhirnya dengan menggunakan kudrat dan tenaganya secara maksimum, A berjaya memiliki sebuah kereta dengan hasil titik peluhnya sendiri. A merupakan seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi tempatan. Di samping menuntut ilmu, dia juga menjalankan perniagaan menjual dadih dan khidmat katering air balang untuk majlis kenduri kahwin dan keraian yang lain. Hasil daripada perniagaan itulah yang membolehkan dia membeli sebuah kereta dengan bayaran tunai.

Walau bagaimanapun, dia tidak pernah menyalahkan kaum keluarganya yang tidak dapat berfikir di luar kotak itu. Barangkali mereka bimbang kalau-kalau A akan mengabaikan pelajaran sekiranya dia melibatkan diri dalam bidang perniagaan ketika masih belajar. Namun dengan rekod yang baik yang ditunjukkan oleh A, akhirnya dia berjaya membuka minda kaum keluarganya tentang usahanya itu.

Baiklah, di sini Puteh Melati(PM) ingin memberi sedikit pandangan. Bagi PM, A merupakan seseorang yang mempunyai impian yang besar dalam hidupnya. Hal ini kita dapat lihat apabila dia sanggup bekerja keras untuk memastikan impiannya itu tercapai dengan cara yang betul. Dia juga merupakan seorang yang bijak mengawal pemikiran dan emosinya tentang sesuatu perkara. Sebagai contoh, dia menerima pelbagai tentangan daripada kaum keluarganya, tetapi dia langsung tidak membiarkan impiannya itu terus terkubur begitu sahaja dan dia juga tidak sama sekali berperang mulut dengan mereka. Sebaliknya dia beranggapan yang baik-baik sahaja terhadap mereka dan akhirnya dengan sikapnya yang sedemikian itu telah berjaya membuatkan  mereka menjadi lebih terbuka cara pemikirannya. Baiklah, bagi PM, jika kita mempunyai impian yang besar, kita mesti berusaha ke arah itu dengan cara yang diredhai seperti yang dilakukan oleh A dan keupayaan untuk mengawal emosi dengan baik sangat diperlukan bagi menjaga hubungan sesama ummah.



Ilmu itu ada di mana-mana sahaja, kutiplah walaupun sekelumit...

Thursday, 7 March 2013

Ceritera kehidupan...

Assalamualaikum w.b.t....

Mula-mula sekali Puteh Melati (PM) nak tanya...ceritera tu apa maksudnya ya? PM pn tak berapa nak pasti sangat, mungkin cerita kot maksudnya...hehe...agaknya la kan..

Baiklah pada kali ini PM ingin berkongsi satu kisah yang berlaku dalam kehidupan PM sendiri. Kisah seperti ini juga mungkin pernah berlaku kepada anda. Jeng...jeng...jeng... apakah kisahnya??? Begini, PM yakin bahawa ramai dalam kalangan pengunjung blog ini mesti pernah melalui alam remaja kan? Jadi, masing-masing ada pengalaman yang tersendiri dalam kehidupan kita, terutamanya dalam proses menuntut ilmu. Tidak kiralah sama ada di peringkat sekolah atau universiti.

Mengimbau kembali zaman persekolahan pada suatu ketika dahulu. Kisah ini berlaku semasa PM berada di sekolah menengah. Semasa PM berada di tingkatan satu pada 10 tahun yang lalu, terdapat seorang guru perempuan yang ditugaskan untuk mengajar salah satu mata pelajaran bagi kelas PM sendiri. Beliau seorang yang baik budi pekertinya. Sopan-santunnya yang tinggi membuatkan para pelajar menaruh rasa hormat yang tinggi kepada beliau. Sikap beliau yang suka mengambil berat akan masalah pelajar yang berkaitan pelajaran membuatkan beliau menjadi seorang guru yang begitu disenangi oleh PM dan juga rakan-rakan yang lain. Namun begitu, kejelasan suara yang dilontarkan oleh beliau semasa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) berlangsung amatlah tidak memuaskan hati semua. Hal ini menyebabkan komunikasi antara kami menjadi terganggu kerana maklumat yang ingin disampaikan oleh beliau itu tidak dapat diterima oleh kami dengan sepenuhnya. Bagi mengelak prasangka yang negatif terhadap beliau, PM menganggap bahawa mungkin beliau ada sebab tersendiri untuk bersuara dengan agak perlahan. Barangkali beliau ingin menjaga suaranya agar sentiasa membatasi aurat.

Seterusnya, mungkin sudah ditakdirkan sekali lagi untuk PM berhadapan dengan perkara yang sama ketika menuntut ilmu di peringkat universiti. Walau bagaimanapun, guru (pensyarah di universiti) pada kali ini bukan seorang wanita, sebaliknya seorang lelaki. Hal yang sama juga berlaku, iaitu seperti sewaktu PM berada pada peringkat persekolahan. Seorang pensyarah lelaki yang kejelasan suaranya amat terbatas. Oleh itu, proses komunikasi menjadi sedikit terganggu akibat faktor ini. Sekali lagi PM memilih untuk tidak memberi pandangan yang negatif terhadap beliau. PM menganggap mungkin beliau mengalami sedikit kekurangan dari segi kejelasan suara (faktor fizikal) semasa berinteraksi dengan khalayak yang ramai. Namun begitu, beliau merupakan seorang pensyarah yang mempunyai tahap pencapaian yang sangat membanggakan. Jadi, kenapa harus kita fokuskan pada kekurangan yang sedikit itu sedangkan banyak lagi kelebihan lain yang terdapat pada diri beliau itu sendiri.

Baiklah, di sini PM ini membuat sedikit kesimpulan bahawa kita sebagai hamba Allah s.w.t. tidak perlu untuk  melihat kekurangan yang terdapat pada diri orang lain. Tidak perlu untuk kita bersungguh-sungguh menghakimi orang lain sedangkan diri kita sendiri masih banyak yang perlu diperbaik. PM sentiasa berpegang dengan satu prinsip yang diajar oleh mentor PM sendiri, iaitu kita masing-masing perlu renung dalam diri kita terlebih dahulu sebelum memerhati atau menghakimi diri orang lain. Sesungguhnya kita sebagai hamba Allah s.w.t. tidak berupaya menggerakkan hati orang lain untuk berubah ke arah yang lebih baik melainkan Allah jualah yang Maha Berkuasa untuk membuka pintu hati mereka. Oleh itu, sama-samalah kita merenung dengan mata hati, pasti akan terbuka kunci.



Wednesday, 6 March 2013

Celik mata dan set semula minda kita...

Assalamualaikum...

Tinta pada kali ini bertajuk "celik mata dan set semula minda kita". Entri ini tercetus hasil daripada tindakan yang tidak dirancang langsung pada mulanya. Keadaan ini berlaku apabila perasaan bosan mula muncul kerana tiada sebarang aktiviti luar yang dilakukan pada sebelah pagi pada hari ini. Kebiasaannya, kuliah bermula pada awal pagi pada hari-hari sebelumnya, namun tidak pula pada hari ini. Oleh itu, setelah "terbangun" awal pada pagi tadi, maka Puteh Melati (PM) pun terpinga-pinga dibuatnya. Setelah itu, terus PM menekan butang 'power' pada laptop untuk melayari internet bagi mengetahui perkembangan semasa. Laman Youtube menjadi pilihan utama untuk dilawati pada pagi ini. Hasrat pada awalnya hanyalah ingin menonton slot-slot drama Melayu yang terlepas untuk ditonton di kaca televisyen, namun sebaliknya pula yang berlaku. PM terjumpa beberapa klip video yang sangat-sangat menarik perhatian PM untuk menontonnya. Klip video yang dimaksudkan ialah deretan klip video motivasi yang disampaikan oleh seorang wanita yang ahli tentangnya. Beliau yang dimaksudkan ialah Profesor Dr. Muhaya. Beliau merupakan seorang doktor perubatan yang pakar dalam bidang perubatan mata.

Prof. Dr. Muhaya

Dalam ceramah-ceramah yang disampaikan banyak perkara baharu yang telah dipelajari. Beliau ada menjelaskan bahawa kita sebagai manusia perlu 'memberi' kepada orang lain, maka lebih mudah kita akan mencapai perkara tersebut. Ramai dalam kalangan kita yang sering menyalahkan orang lain sekiranya berlaku sesuatu masalah. Keadaan seperti ini terjadi disebabkan kita sentiasa merasa bahawa diri kita sahaja yang betul dalam semua hal. Sikap seperti ini perlu dibendung sejak awal lagi agar tidak menjadi lebih parah pada masa yang mendatang. Menurut beliau, setiap apa-apa yang tercetus dalam diri kita, maka perkara itulah yang akan kita terjemahkan melalui perbuatan kita. Setiap perkara yang tercetus dalam hati kita akan lahir dalam setiap tindakan kita. Sekiranya kita sering memandang negatif tentang orang, maka kita sentiasa akan berfikiran negatif tentang seseorang itu. Tidak ramai dalam kalangan kita yang merenung ke dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum mula menuding jari kepada orang lain. Bagi kita, semuanya orang yang salah...kita sentiasa betul. 

Tidak dapat dinafikan juga bahawa kadang-kadang terdapat perkara-perkara tertentu yang membuatkan kita berasa hilang sabar tentangnya. Tambahan pula perkara itu disebabkan oleh seseorang yang kita sedia maklum tentang sifatnya yang kita kurang senangi. Nah, di sinilah emosi dalaman kita benar-benar diuji. Sebagai hamba Allah s.w.t., kita tidak dapat mengubah hati orang untuk mereka mengubah sikap mereka itu. Jadi, bagi memudahkan masalah ini diatasi, kita perlu mengubah situasi persekitaran tersebut. Sebenarnya, terpulang kepada kita sendiri untuk memberi tindak balas tentang sesuatu insiden yang berlaku dalam kehidupan kita, antara positif atau negatif. Perlu diingat bahawa perkataan yang belum terungkap itu pada awalnya adalah milik kita, tetapi setelah diungkapkan perkataan tersebut telah menjadi milik orang lain. Orang yang banyak bercakap tanpa memberi peluang kepada orang lain untuk bersuara itu sebenarnya bukanlah contoh yang baik untuk diteladani. 

Jadi, sama-samalah kita merenung ke dalam diri masing-masing terlebih dahulu sebelum mula berfikiran negatif tentang orang lain yang berada di sekeliling kita.