Kebelakangan ini jika kita lihat, remaja mudah sungguh terpengaruh dengan gaya fesyen yang pelbagai dan kebanyakannya merupakan fesyen yang pelik-pelik. Kita juga selalu mendengar bahawa ada dalam kalangan remaja yang mudah melenting jika ditegur tentang cara mereka berfesyen. Ada antara mereka yang menjawab sebegini apabila ditegur, "Saya selesa dengan apa yang saya pakai dan saya tidak peduli pada apa yang orang lain kata". Walaupun sebenarnya pakaian yang mereka pakai itu sememangnya menjolok mata. Tidak dapat dinafikan bahawa ada juga rakan-rakan kita sendiri yang berpakaian sedemikian. Oleh itu, kita perlu menegur mereka secara berhemah, bukannya dengan cara membuta tuli sahaja.
"Utamakan kelembutan dalam berbahasa"
Baiklah, bagi membuka minda rakan-rakan kita yang berfesyen secara keterlaluan itu, kita perlu bijak menangani mereka. Apabila mereka mengatakan "... tidak peduli dengan kata-kata orang lain", kemudian kita tambah lagi soalan itu kepada mereka, "Apa pula yang Allah kata?". Cuba kita tanya kepada mereka, "Tubuh badan awak yang sempurna ini, siapa yang berikan? Bayangkan awak bangun tidur pada keesokan harinya, kemudian awak langsung tidak boleh menggerakkan anggota badan awak. Apa yang awak mahu lakukan?"
Jika kita hanya memikirkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain, maka hubungan kita sesama insan akan musnah. Kita sebenarnya mempunyai hak dalam perhubungan untuk dijaga. Apabila kita mengenakan pakaian yang menjolok mata, sebenarnya kita melanggar hak manusia lain. Hal ini demikian kerana kita dalam ajaran Islam diamanahkan untuk menjaga mata dan penglihatan kita. Sekiranya hal yang sebaliknya berlaku, maka kita sebenarnya telah menzalimi diri kita sendiri.
Sebagai umat Islam, kita sebenarnya bertanggungjawab atas diri kita sendiri. Setiap kali kita berpakaian, kita mempunyai dua pilihan, sama ada mahu memilih syurga atau api neraka. Jadi, sama-samalah kita renung diri kita dan segera membuat perubahan ke arah perkara-perkara yang lebih baik dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment