Assalamualaikum w.b.t....
Mula-mula sekali Puteh Melati (PM) nak tanya...ceritera tu apa maksudnya ya? PM pn tak berapa nak pasti sangat, mungkin cerita kot maksudnya...hehe...agaknya la kan..
Baiklah pada kali ini PM ingin berkongsi satu kisah yang berlaku dalam kehidupan PM sendiri. Kisah seperti ini juga mungkin pernah berlaku kepada anda. Jeng...jeng...jeng... apakah kisahnya??? Begini, PM yakin bahawa ramai dalam kalangan pengunjung blog ini mesti pernah melalui alam remaja kan? Jadi, masing-masing ada pengalaman yang tersendiri dalam kehidupan kita, terutamanya dalam proses menuntut ilmu. Tidak kiralah sama ada di peringkat sekolah atau universiti.
Mengimbau kembali zaman persekolahan pada suatu ketika dahulu. Kisah ini berlaku semasa PM berada di sekolah menengah. Semasa PM berada di tingkatan satu pada 10 tahun yang lalu, terdapat seorang guru perempuan yang ditugaskan untuk mengajar salah satu mata pelajaran bagi kelas PM sendiri. Beliau seorang yang baik budi pekertinya. Sopan-santunnya yang tinggi membuatkan para pelajar menaruh rasa hormat yang tinggi kepada beliau. Sikap beliau yang suka mengambil berat akan masalah pelajar yang berkaitan pelajaran membuatkan beliau menjadi seorang guru yang begitu disenangi oleh PM dan juga rakan-rakan yang lain. Namun begitu, kejelasan suara yang dilontarkan oleh beliau semasa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) berlangsung amatlah tidak memuaskan hati semua. Hal ini menyebabkan komunikasi antara kami menjadi terganggu kerana maklumat yang ingin disampaikan oleh beliau itu tidak dapat diterima oleh kami dengan sepenuhnya. Bagi mengelak prasangka yang negatif terhadap beliau, PM menganggap bahawa mungkin beliau ada sebab tersendiri untuk bersuara dengan agak perlahan. Barangkali beliau ingin menjaga suaranya agar sentiasa membatasi aurat.
Seterusnya, mungkin sudah ditakdirkan sekali lagi untuk PM berhadapan dengan perkara yang sama ketika menuntut ilmu di peringkat universiti. Walau bagaimanapun, guru (pensyarah di universiti) pada kali ini bukan seorang wanita, sebaliknya seorang lelaki. Hal yang sama juga berlaku, iaitu seperti sewaktu PM berada pada peringkat persekolahan. Seorang pensyarah lelaki yang kejelasan suaranya amat terbatas. Oleh itu, proses komunikasi menjadi sedikit terganggu akibat faktor ini. Sekali lagi PM memilih untuk tidak memberi pandangan yang negatif terhadap beliau. PM menganggap mungkin beliau mengalami sedikit kekurangan dari segi kejelasan suara (faktor fizikal) semasa berinteraksi dengan khalayak yang ramai. Namun begitu, beliau merupakan seorang pensyarah yang mempunyai tahap pencapaian yang sangat membanggakan. Jadi, kenapa harus kita fokuskan pada kekurangan yang sedikit itu sedangkan banyak lagi kelebihan lain yang terdapat pada diri beliau itu sendiri.
Baiklah, di sini PM ini membuat sedikit kesimpulan bahawa kita sebagai hamba Allah s.w.t. tidak perlu untuk melihat kekurangan yang terdapat pada diri orang lain. Tidak perlu untuk kita bersungguh-sungguh menghakimi orang lain sedangkan diri kita sendiri masih banyak yang perlu diperbaik. PM sentiasa berpegang dengan satu prinsip yang diajar oleh mentor PM sendiri, iaitu kita masing-masing perlu renung dalam diri kita terlebih dahulu sebelum memerhati atau menghakimi diri orang lain. Sesungguhnya kita sebagai hamba Allah s.w.t. tidak berupaya menggerakkan hati orang lain untuk berubah ke arah yang lebih baik melainkan Allah jualah yang Maha Berkuasa untuk membuka pintu hati mereka. Oleh itu, sama-samalah kita merenung dengan mata hati, pasti akan terbuka kunci.
No comments:
Post a Comment