Perpaduan teras pembanguan negara
Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, iaitu Tun Abdul Razak merupakan Bapa Perpaduan negara kita. Malaysia mencapai kemerdekaan pada awalnya juga didorong oleh semangat perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyatnya. Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, perpaduan merupakan faktor yang penting bagi memastikan pembangunan negara berjalan lancar. Hal ini demikian kerana sekiranya tiada sikap bersatu-padu dalam kalangan rakyat, maka segala usaha yang dilaksanakan akan terbantut sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Sebenarnya terdapat banyak kelebihan yang dapat dinikmati oleh rakyat sekiranya semangat perpaduan wujud dalam kalangan masyarakat sesebuah negara. Keadaan ini bersesuaian dengan slogan, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Lanjutan daripada ini, sekiranya rakyat dalam sesebuah negara saling membantu, maka akan wujud semangat untuk mengambil berat tentang masalah sesama kita. Oleh itu, semua masalah dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong boleh dilaksanakan di sesuatu kawasan petempatan dengan melibatkan seluruh penduduk di kawasan tersebut tanpa mengira kaum untuk membersihkan kawasan yang kotor atau semak. Jadi, tidak akan timbul rasa tidak puas hati sesama mereka kerana masing-masing mempunyai rasa tanggungjawab untuk melaksanakan perkara tersebut, bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Selain itu, perpaduan yang mantap dalam kalangan rakyat juga berupaya membuka mata para pelancong asing dari luar negara untuk melancong ke sini. Oleh itu, hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara melalui kemasukan pelancong asing tersebut. Perpaduan yang ditunjukkan dalam kalangan rakyat juga memberi imej yang positif kepada mereka dan keadaan ini akan membuatkan mereka mula mengagumi negara kita. Oleh itu, tidak mustahil pada masa akan datang, mereka akan kembali melancong ke negara kita. Jadi, sedikit-sebanyak melalui kemasukan pelancong-pelancong asing ini akan membuatkan negara kita mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seperti negara maju yang lain.
Konklusinya, kita sebagai rakyat yang sayang akan negara kita perlulah menjaga semangat perpaduan sesama kaum yang telah lama wujud di negara kita ini agar kedamaian yang ada di Malaysia ini dapat dikekalkan dan diwarisi oleh generasi yang akan datang.
No comments:
Post a Comment