Thursday, 18 April 2013

Peribahasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada kali ini, kita akan berbicara tentang peribahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandung kebenaran, sedap didengar, dan bijak perkataannya.

Peribahasa Melayu dapat dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah perumpamaan, pepatah, bidalan, kiasan, kata-kata hikmat, simpulan bahasa, dan perbilangan.

Walaupun kini negara kita sedang berkembang ke arah negara maju menjelang tahun 2020, tetapi unsur peribahasa masih lagi diguna pakai sehingga ke hari ini. Hal ini jelas menggambarkan bahawa bangsa Melayu mempunyai nilai yang tinggi dalam berbahasa sejak dahulu lagi. Tambahan pula, peribahasa yang telah wujud sejak sekian lama ini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi kita pada hari ini. Hal ini demikian kerana bahasa yang santun, unik, dan halus yang digunakan dalam sesuatu peribahasa itu berupaya menjadikannya sebagai warisan kepada generasi yang mendatang seperti kata pepatah, 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

Oleh yang demikian, bagi memastikan penggunaan peribahasa terus berlaku dalam kalangan masyarakat pada masa akan datang, usaha ke arah memperbanyak penggunaannya perlu diajlankan dengan lebih giat. Sesungguhnya semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pihak sekolah, dan pihak kementerian yang terbabit perlu memainkan peranan masing-masing agar usaha ini akan berterusan dan berkesan kepada generasi kini.

Di bawah ini, ada dilampirkan peribahasa beserta maksudnya dan contoh ayat yang berkaitan dengan peribahasa tersebut. Sekian, wallahu'alam.

Kata akronim...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada kali ini, marilah sama-sama kita berkongsi cerita tentang kata akronim. Kata akronim ialah kata yang terbentuk hasil percantuman bahagian-bahagian daripada serangkai kata. Bahagian-bahagian yang dicantumkan itu boleh terdiri daripada huruf-huruf, suku-suku kata, atau bahagian-bahagian daripada sesuatu kata.
Dalam bahasa Melayu, percantuman itu berlaku melalui:

1. percantuman huruf-huruf awal kata, misalnya:

Institut Kefahaman Islam Malaysia = IKIM
Ahli Dewan Undangan Negeri = ADUN
Edaran Otomobil Nasional = EON
Universiti Pendidikan Sultan Idris = UPSI

2. percantuman huruf dan suku kata sesedap sebutan, misalnya:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia = Jakim
Majlis Kanser Nasional = Makna
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia = Perkim
Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail = Puspati
Sukan Malaysia = Sukma

3. percantuman suku kata awal kata, misalnya:

cerita pendek = cerpen
kumpulan gitar rancak = kugiran
panggung wayang gambar = pawagam
taman bimbingan kanak-kanak = tabika
taman didikan kanak-kanak = tadika

4. percantuman bahagian awal kata pertama dengan bahagian lain kata yang menyusulinya, misalnya:

rumpai air = rumpair
hala laju = halaju
jantan betina = jantina
jentera tolak = jentolak
tumbuh besar = tumbesar

Secara keseluruhannya, terdapat empat cara atau kaedah yang mebolehkan percantuman kata-kata itu berlaku. Kata akronim juga tergolong dalam kata tunggal. Walaupun perkataan tersebut asalnya mempunyai beberapa patah kata, tetapi perkataan itu tetap dikira sebagai satu patah kata atau kata tunggal kerana perkataan tersebut kebanyakannya membawa maksud yang satu, iaitu perkataan tersebut tidak mengalami proses pengimbuhan, penggandaan, dan pemajmukan.

Sekian, wallhu'alam.

Wednesday, 17 April 2013

Budi bahasa bunga peribadi...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

                                   BUDI BAHASA


Budi bahasa bunga peribadi
Buahnya pula nilaian murni
Diri berjasa serata pertiwi
Budaya mulia pada generasi

Laksana pohon tumbuh merimbun 
Teguh berdiri tahun-bertahun
Menjadi tempat unggas berhimpun
Bersatu padu di dalam rukun

Mulia insan kerana jasanya
Bukan disanjung kerana harta (benda)
Tingkah lakunya sentiasa dijaga
Terhindar dari sifat tercela


Pernahkah kalian mendengar lagu nasyid Budi Bahasa yang dinyanyikan oleh kumpulan Far East? Lagu tersebut menceritakan tentang pentingnya mempunyai budi bahasa dalam diri setiap insan bagi melahirkan insan yang mempunyai peribadi yang unggul. Dalam ajaran Islam, amalan berbudi bahasa diletakkan pada kedudukan yang tinggi dan amat digalakkan. Malah, pembangunan sesebuah masyarakat atau negara tidak akan sempurna tanpa rakyatnya yang berbudi bahasa. Sebenarnya, seseorang yang mempunyai keluhuran budi bahasa akan disenangi oleh orang ramai dan secara tidak langsung akan dapat membina kehidupan sosial yang aman dan tenteram. Jadi, kita perlu berbudi bahasa dalam kehidupan agar kita dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
 



Kata penegas...

Pada kali ini, kita sama-sama akan berkongsi ilmu tentang kata penegas. Kata penegas berfungsi memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Kata penegas terbahagi kepada dua jenis, iaitu yang hanya menegaskan frasa predikat atau bahagian-bahagiannya dan yang menegaskan kedua-dua bahagia ayat, iaitu subjek dan predikat. Kata penegas yang hanya menegaskan frasa predikat atau bahagian-bahagiannya ialah -kah, -tah, , dan -lah. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti berikut:

1. Siapakah yang merasmikan bangunan itu?
2. Apatah lagi mahumu?
3. Dialah bakal isteri saya.

Antara kata penegas yang menegaskan kedua-dua bahagia ayat ialah juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang. Contohnya:

1. Walaupun dilarang, adik masih juga mahu mandi di sungai.
2. Selain Ali, Abu jua mengalami cirit-birit.
3. Tidak ada seorang pun yang menziarahi Tuk Timah.
4. Mereka baru sahaja berlepas ke Paris.
5. Proton akan melancarkan dua lagi model baru pada tahun ini.
6. Ustaz Redza memang arif dalam hal-hal tajwid.

Sekian perkongsian pada kali ini.

Bahasa baku dan bahasa basahan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada entri kali ini, PM ingin mengajak kalian untuk sama-sama kita meneliti aspek perbezaan yang terdapat antara bahasa baku denganbahasa basahan. Menurut Abdullah Hassan, terdapat tiga perbezaan antara bahasa baku dengan bahas basahan, iaitu:

1. penggunaan perkataan yang berbeza untuk makna yang serupa, misalnya:

bahasa baku: mengapa, bagaimana, sedang

bahasa basahan: kenapa, macam mana, tengah

2. penggunaan bentuk kependekan, misalnya:

bahasa baku: hendak, tidak, sudah

bahasa basahan : nak, tak, dah

3. terdapatnya perubahan bunyi, misalnya :

bahasa baku : ambil, kecil, pula, sihat

bahasa basahan : ambek/amek, kecik, pulak, sehat

Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya kita sering menggunakan bahasa basahan dalam pertuturan kita setiap hari. Lazimnya, penggunaan bahasa basahan lebih mudah untuk digunakan daripada menggunakan bahasa baku dalam pertuturan kita. Hal ini mungkin disebabkan faktor penggunaan bahasa baku yang digunakan apabila perlu sahaja membuatkan kita merasa kekok untuk menggunakannya dalam urusan seharian. Hal ini mungkin juga disebabkan aspek tatabahasa atau kegramatisan ayat tidak dipentingkan dalam bahasa basahan dan bahasa ini juga dipengaruhi oleh bahasa daerah atau loghat. Jadi, bagi melahirkan masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam kehidupan, mereka perlu dididik sejak kecil untuk bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu yang tinggi agar tidak merasa kekok untuk menggunakannya pada masa hadapan.

Sekian, wallhu'alam.

Bahasa halus dan bahasa kasar

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada kali ini, Puteh Melati (PM) ingin berkongsi pengalaman PM tentang penggunaan bahasa halus dan bahasa kasar yang sering digunakan dalam kehidupan seharian kita. Bahasa halus merupakan suatu sistem bahasa yang bersopan santun dan berbudaya tinggi. Dalam bahasa halus, bahasa kiasan dan peribahasa sering digunakan untuk menyatakan sesuatu yang kurang manis. Jenis kiasan yang sering digunakan ialah kiasan pemanis. Pada beberapa hari yang lalu, PM dan rakan-rakan berpeluang untuk pergi menziarah guru-guru di sekolah dahulu. Kelihatan ramai muka-muka baru yang mencurah bakti di sekolah tersebut dan terdapat juga guru-guru PM yang masih lagi bertugas di ditu. Salah seorangnya merupakan guru Bahasa Melayu PM ketika berada di tingkatan enam dahulu. Beliau merupakan seorang guru Bahasa Melayu yang berbangsa Cina dan sering menjadi tempat rujukan guru-guru dan para pelajar tentang subjek Bahasa Melayu di sekolah.

Hendak dijadikan cerita, ketika kami semua rancak berbual, tiba-tiba beliau bersuara bahawa beliau ingin ke "sungai kecil". Salah seorang rakan PM bertanya kepada beliau, "Ada urusan apa cikgu nak ke sana, kajian lapangankah?". Sejurus selepas itu, kedengaran berderaian ketawa daripada kami semua. Hal ini demikian kerana rakan PM yang bertanya itu tidak memahami bahasa halus yang digunakan oleh guru tersebut. Seterusnya, ada seorang rakan cikgu yang lain menjelaskan kapada rakan yang bertanya tadi bahawa "sungai kecil" itu bermaksud buang air kecil. Begitulah kisah yang ingin PM kongsikan bersama kalian pada kali ini.

Sekian, PM ucapkan ribuan terima kasih kepada kalian kerana telah berkunjung ke blog PM ini.


Berkongsilah walaupun sedikit...

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca sekalian...

Sering kali kita berhadapan dengan situasi yang menduga hati dan fikian kita dalam hidup bermasyarakat. Keadaan ini berlaku apabila Puteh Melati (PM) sedang menonton rancangan televisyen bersama rakan-rakan di rumah. Pada masa yang sama, terdapat seseorang dalam kalangan kami yang sedang menjamah makanan ringan. Rata-rata dalam kalangan kami telah mengetahui perangai atau sikap individu berkenaan yang sememangnya agak berat mulut untuk menjemput rakan-rakan yang lain menjamah makanan yang sedang dimakan. dalam bahasa yang mudahnya, individu tersebut terlalu berkira untuk berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan yang lain. Bukan sahaja makanan, tetapi wang ringgit juga terlalu berkira walaupun bernilai 10sen. Pada pendapat PM, sikap seperti ini bukanlah bertujuan untuk berjimat-cermat, tetapi lebih menjurus kepada sikap individu tersebut yang boleh dilabel sebagai "haji bakhil" kerana untuk diri sendiri pun dia terlalu berkira, apatah lagi dengan kawan-kawan yang lain. Moga-moga sikap yang buruk itu akan terhakis daripada diri kita.

Sebenarnya, ramai dalam kita yang tidak menyedari bahawa kita akan mendapat rezeki yang melimpah-ruah sekiranya kita memiliki hati yang pemurah dan rajin bersedekah kepada orang lain. Hail ini telah pun disebut dalam dalil daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sedekah tidak akan mengurangkan harta, malahan Allah mengangkat martabat orang yang memberi sedekah". Begitulah kelebihan yang akan kita dapat sekiranya mempunyai hati yang pemurah. Sesungguhnya, Allah s.w.t. yang memberi rezeki kepada kita. Jadi, mengapa kita perlu berkira-kira untuk berkongsi rezeki tersebut dengan orang lain yang juga merupakan makhluk ciptaan Allah s.w.t.? Sama-samalah kita renungkan.

Sekian, wallahu'alam.


Saturday, 13 April 2013

Rekaan atau kebenaran?

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

sa,
menua,
meniga,
mata sepat,
tok panglima,
haji konam,
terbertuh,
titi papan,
itik tilan,
timpa puluh.

Agak-agaknya mantera atau jampi serapah apakah yang Puteh Melati (PM) tulis di atas? Baiklah, bagi memastikan keadaan terkawal, biarlah PM jelaskan terlebih dahulu tentang perkataan-perkataan yang PM tulis di atas. Semua perkataan tersebut merupakan lirik lagu yang sering dinyanyikan oleh Atuk PM dan telah menjadi ikutan oleh PM sejak kecil sehingga sekarang. Sebenarnya lirik lagu tersebut berkaitan dengan nombor, iaitu:

sa = satu
menua = dua
meniga = tiga
mata sepat = empat
tok panglima = lima
haji konam  = enam
terbertuh = tujuh
titi papan = lapan
itik tilan = sembilan
timpa puluh = sepuluh

Begitulah kisahnya. PM sendiri tidak tahu dari manakah perkataan-perkataan ini boleh terhasil dan pengaruh apakah yang diterima sehingga boleh menghasilkan perkataan-perkataan tersebut atau sememangnya Atuk PM mempunyai bakat yang tersendiri dalam menghasilkan perkataan-perkataan sedenikian. Barangkali, PM perlu mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut daripada beliau.

Sekian, wallhu'alam.

Apabila dijajah orang Inggeris...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Apabila dijajah orang Inggeris, pelbagai kesan peninggalan sejarah yang dapat kita perhatikan di sekeliling kita. Baik dari segi monumen mahupun budaya yang rata-rata diamalkan oleh masyarakat Malaysia. Di sebalik peninggalan sejarah yang wujud di negara kita, ada sesuatu yang benar-benar menarik perhatian Puteh Melati (PM) untuk menghasilkan entri pada kali ini buat tatapan kalian bersama. Sekiranya diteliti satu persatu, pihak penjajah Inggeris bukan sahaja meninggalkan tapak-tapak bersejarah yang sememangnya dipelihara dengan baik oleh pihak kerajaan sebagai tempat pelancongan, malahan mereka turut memberi pengaruh yang besar dalam kosa kata masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Hal ini bukanlah rekaan PM semata-mata kerana kejadian ini berlaku kepada Atuk PM sendiri.

Baiklah, kisahnya bermula begini. Pada hujung minggu yang lalu, PM telah  pulang ke kampung halaman PM yang terletak di utara tanah air. Masing-masing mempunyai tugasnya yang tersendiri. Ada yang memasak, ada juga yang bertukang. Atuk PM boleh dikatakan sebagi seorang tukang rumah yang agak teliti dalam setiap perkara yang dilakukan, terutamanya apabila dia mula bertukang. Sejak daripada remaja beliau telah melibatkan diri dengan pelbagai bidang pekerjaan seperti nelayan, tukang rumah, petani dan sebagainya yang berkaitan dengan kerja-kerja kampung. Hendak dijadikan cerita, kepulangan PM ke kampung halaman sememangnya sedikit-sebanyak boleh meringankan urusan Atuk untuk bertukang kerana PM merupakan 'orang suruhan' yang paling mudah disuruh (hehehe). Ada satu ketika, Atuk meminta "haema" daripada PM. "Haema"? Nah, apa benda pula yang Atuk PM minta ini? Rupa-rupanya setelah diberi penjelasan lanjut oleh Atuk, barulah PM mengerti bahawa "haema" yang dimaksudkan ialah penukul atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai "hammer". Oleh itu, barulah PM mengerti bahawa rata-rata orang di kampung PM yang sebaya dengan Atuk sememangnya terdapat pengaruh bahasa Inggeris dalam kosa kata tertentu yang mereka gunakan.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pihak penjajah Inggeris bukan sahaja meninggalkan kesan sejarah dalam bentuk bangunan atau tapak-tapak bersejarah, tetapi mereka juga ada meninggalkan pengaruh bahasa mereka, iaitu bahasa Inggeris dalam kosa kata tertentu yang digunakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

Sekian sahaja perkongsian pada kali ini.

Friday, 12 April 2013

R.O.K.O.K

Assalamualaikum w.b.t.



Dapatkah kalian perhatikan gambar di atas? Gambar sebatang rokok. Ya, pada kali ini Puteh Melati (PM) ingin mengajak kalian untuk bersama-sama kita membicarakan isu rokok yang tidak pernah luput sejak zaman dahulu lagi. Sememangnya masyarakat pada zaman dahulu hanya menjadikan pucuk daun nipah dan tembakau sebagai rokok. Namun, dari sehari ke sehari bahan-bahan yang digunakan bagi menghasilkan sebatang rokok semakin berbeza. Hal ini berlaku disebabkan kemajuan teknologi yang semakin pesat dan selaras dengan itu, hal ini telah meningkatkan keupayaan anggota masyarakat untuk menghasilkan rokok yang lebih "baik" kandungannya sehinggakan segala jenis racun terdapat di dalamnya. Memang terserlah kepakaran mereka apabila berjaya menghasilkan rokok seperti yang terdapat di pasaran ketika ini. Umum mengetahui bahawa bidang teknologi pembuatan semakin berkembang selari dengan pantasnya teknologi maklumat berkembang. Oleh itu, telah muncul pula rokok elektronik pada masa kini. Baiklah, pada kali ini PM ingin memberi sedikit pandangan tentang larangan merokok dan sudah pun dikeluarkan fatwa "haram" ke atas rokok ini. Mengapakah sehingga rokok boleh dikatakan haram?

PM hanya ingin berkongsi pendapat dengan kalian. Sekiranya pendapat kita berbeza, PM ingin memohon maaf terlebih dahulu dan perbezaan pendapat itu perkara yang lumrah sesama insan kerana masing-masing mempunyai gaya pemikiran dan hati yang berbeza.

Baiklah, bagi PM kandungan yang terdapat di dalam sebatang rokok itu telah memberikan gambaran bahawa banyak kesan buruk yang akan diperoleh perokok. Bukan sahaja perokok, tetapi orang yang berada di sekelilingnya juga turut terkena tempiasnya, bahkan kesan yang akan mereka ini terima adalah lebih buruk lagi berbanding perokok itu sendiri. Sudahlah memudaratkan kesihatan tubuh badan, pembelian rokok juga merupakan satu kaedah untuk menghabiskan wang dengan mudah. Maksudnya di sini, rokok boleh menyebabkan pembaziran kepada pembelinya. Nah, sekarang kita lihat pula bagaimana rokok ini difatwakan haram. Bagi umat Islam, kita diwajibkan memilih makan yang halal lagi baik sebagai makanan kita. Hal ini demikian kerana apabila kita memakan makanan yang halal dan baik kandungannya, maka kesihatan akan terjamin. Jadi, dengan adanya kesihatan yang baik, hal ini akan memudahkan kita untuk melakukan ibadah kepada Allah S.W.T. Tambahan pula, Allah S.W.T. telah pun memberikan kita nikmat tubuh badan yang sihat kepada kita adalah untuk kita beribadat kepada-Nya. Tidakkah kita merasa walau sekelumit dosa sekalipun sekiranya kita dengan sewenang-wenangnya merosakkan dan menghancurkan nikmat kurniaan Allah S.W.T. ini? Nauzubillahhiminzalik.
Oleh itu, sebagai hamba Allah yang mempunyai akal fikiran yang baik, marilah sama-sama kita renungkan kembali tentang perbuatan merokok yang kurang disenangi ramai ini. Bagi PM, merokok lebih banyak mendatangkan kesan yang bruk dalam kalangan masyarakat berbanding dengan kesan yang baik, malahan boleh dikatakan tidak ada langsung kesan baik tentang rokok ini yang boleh diambil.

Sekian, wallhu'alam.

Asal usul bangsa dan bahasa Melayu



Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada kali ini kita akan membicarakan tentang asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Melalui pembacaan yang dibuat, Puteh Melati (PM) dapati bahawa rata-rata pengkaji memutuskan bahawa asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti berikut:

1.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645    Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.

2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.

3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

Baiklah, sekarang PM ingin mengajak para pembaca sekalian untuk menelusuri aspek asal usul bangsa Melayu pula. Secara ringkasnya, bangsa Melayu dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto. Golongan ini berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi). Rata-rata golongan ini 
berketurunan Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.

Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro. Golongan ini berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi. Golongan ini berketurunan orang Melayu di Malaysia
dan dikatakan bahawa golongan ini lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto, terutamanya dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam. Bilangan mereka juga lebih ramai daripada Melayu Proto. Golongan ini menjadikan kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara sebagai kawasan penempatan mereka. 

Secara keseluruhannya, kedua-dua golongan Melayu Proto dan melayu Deutro ini dikenali sebagai Austronesia. Oleh yang demikian, bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.





Apakah Alonim?

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Apakah yang dimaksudkan dengan "alonim"? Baiklah, biar Puteh Melati (PM) terangkan serba sedikit tentang "alonim" ini. Sebenarnya, "alonim" merupakan gelaran atau panggilan nama lain kepada seseorang atau sesuatu. Pada kebiasaannya, gelaran atau panggilan ini kita berikan kepada seseorang yang rapat dan hampir dengan kita. Jika diperhatikan dari sudut yang positif, penggunaan "alonim" ini sebenarnya berupaya untuk membantu kita mengingati seseorang dengan lebih cepat dan mudah. Walau bagaimanapun, kita juga perlu menjaga hati orang yang kita tujukan gelaran atau panggilan tersebut agar boleh menerima gelaran itu sebaiknya. Buat perkongsian bersama, sebenarnya "alonim" sering digunakan dalam kehidupan kita seharian.


 Antara contoh penggunaan "alonim" adalah seperti berikut:

1. "Din" atau "Sudin" merupakan alonim bagi nama "Shamsudin".
2. "Man" atau "Leman" merupakan alonim bagi nama "Sulaiman".
3. "Non" atau "Denon" merupakan alonim bagi nama "Zainol".
4. "Nab" atau "Denab" atau "Mek Nab" merupakan alonim bagi nama "Zainab".


Melalui gelaran atau panggilan yang diberikan kepada seseorang, jelas sekali bahawa penggunaan alonim ini serba sedikit dapat membantu kita untuk mengingati seseorang dengan lebih cepat dan mudah. Gelaran atau panggilan yang diberikan itu perlu disenangi oleh tuan empunya diri agar tidak menimbulkan perselisihan faham pada masa yang akan datang.

Sekian, wallhu'alam...

Thursday, 11 April 2013

Ilmu perlu dicari...

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera kepada pembaca-pembaca yang budiman...

Ilmu perlu dicari. Itulah tajuk entri yang ingin Puteh Melati (PM) nukilkan pada kali ini. Benarlah kata orang bahawa ilmu Allah S.W.T. itu cukup luas. Di mana-mana sahaja kita oleh mendapat ilmu, asalkan kita sanggup berusaha bagi mendapatkannya. Ilmu pengetahuan boleh dipelajari bukan sahaja menerusi pendidikan formal di sekolah mahupun di universiti. Ilmu pengetahuan boleh dipelajari menerusi pendidikan sepanjang hayat yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Sebagai contoh, jika inginkan ilmu untuk menjahit pakaian, kita boleh mempelajarinya dengan belajar cara-cara menjahit pakaian daripada ibu kita sendiri. Ilmu tersebut boleh dipelajari walaupun kita tidak hadir ke kelas formal. Walau bagaimanapun, jika kita tidak ada usaha ke arah mencari ilmu tersebut, maka ilmu itu tetap juga tidak akan kita miliki.

Baiklah, bagi entri kali ini PM sangat-sangat terkejut apabila membaca satu iklan kain rentang tentang jawatan kosong yang dipamerkan di pagar-pagar yang terdapat di tepi jalan raya. Bagi memudahkan para pengunjung untuk lebih memahami perkara yang PM maksudkan, di sini PM ada menyediakan gambar iklan kain rentang tersebut:




Baiklah, rasa-rasanya apabila membaca ayat iklan tersebut sudah pasti kita semua terkejut jadinya. Iklan jawatan kosong tersebut menyatakan bahawa mereka memerlukan "penjual gadis" bagi memenuhi kekosongan jawatan yang terdapat di premis mereka. "Penjual gadis"? Hal ini boleh menimbulkan pertanyaan yang pelbagai daripada banyak pihak. Adakah mereka ini menjalankan kegiatan haram? Hal seperti ini sepatutnya tidak berlaku di negara kita, malahan di seluruh dunia sekalipun. Kegiatan ini boleh menimbulkan penindasan yang keras terhadap wanita dan menyebabkan masalah jenayah semakin meningkat. 

Walau bagaimanapun, hal ini sebenarnya bukanlah seperti yang dimaksudkan oleh iklan tersebut. Ayat iklan tersebut yang berbunyi "penjual gadis" itu sebenarnya membawa maksud "jurujual wanita". PM sendiri perasan akan perkara ini setelah membaca ayat yang ditulis dalam bahasa Inggeris di bawahnya. Nah, hal yang sekecil ini mampu menimbulkan pertanyaan yang pelbagai dalam fikiran kita sebagai khalayak pembaca. Sebenarnya, PM ingin menjelaskan bahawa sekiranya kita tidak mempelajari nahu bahasa Melayu secara formal sekalipun, apalah salahnya jika kita berusaha sendiri untuk mempelajarinya menerusi perbualan dengan rakan-rakan kita yang lain yang mungkin ada sedikit ilmu tentang nahu bahasa Melayu itu sendiri. Oleh itu, perkara seperti ini tidak akan berlaku dengan berleluasa. Benarlah kata pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Sama-samalah kita berusaha mencari ilmu pengetahuan walau di mana sahaja kita berada. Sekian, wallahu'alam.

Penggunaan Pantun untuk Berkomunikasi.

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Bagi entri kali ini, Puteh Melati (PM) mula mencoretkannya sejak awal pagi lagi. Bukan apa, PM hanya ingin menyiapkan tugas-tugas yang belum lagi disiapkan kelmarin. Oleh itu, tugas-tugas tersebut tertangguh pula jadinya. Pagi ini PM berasa nyaman sekali dengan cuaca yang agak sejuk ditambah pula dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup di luar rumah. Baiklah, pada kali ini PM ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang penggunaan pantun untuk berkomunikasi dalam masyarakat.

Pantun masih lagi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, terutamanya pantun dua kerat dan pantun empat kerat. Jika diperhatikan sekeliling kita, sudah tentu ada sahaja penggunaan pantun dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan di negara kita. Sebagai contoh, pantun sering digunakan dalam majlis meminang dan keraian perkahwinan. Juruacara majlis sering menjadikan pantun sebagai pembuka, penutup, dan penyeri bicara dalam sesuatu majlis yang dijalankan. Akhir-akhir ini, kelihatan banyak pertandingan pantun yang dilaksanakan sama ada di peringkat sekolah mahupun peringkat universiti. Usaha seperti ini mampu meningkatkan lagi penggunaan pantun dalam masyarakat kita.

Pernahkah anda melihat atau mendengar situasi berpantun semasa berkomunikasi berlaku? PM yakin mesti anda semua pernah menonton rancangan televisyen yang bertajuk "Osman Baku" siaran RTM. Baiklah, PM juga pernah menonton rancangan tersebut dan perkara yang sangat menarik perhatian PM ialah mereka menggunakan pantun sebagai medium untuk berkomunikasi sesama mereka. Terdapat pelbagai situasi yang ditunjukkan telah menarik minat PM untuk membuat ulasan tentang perkara tersebut. Bukan ulasan negatif yang PM ingin berikan, tetapi PM sungguh kagum dengan kekayaan masyarakat Melayu dalam seni berbahasa yang telah ditonjolkan menerusi rancangan tersebut.

Antara pantun yang terdapat dalam rancangan tersebut ialah:

makan sirih berpinang tidak,
pinang ada di bawah tangga,
hidangan ini kenyangnya tidak,
tapi cukup untuk budi bahasa.

Sebagai masyarakat yang mempunyai nilai berbahasa yang tinggi, marilah sama-sama kita memelihara warisan peninggalan nenek moyang kita ini agar terus mendapat perhatian dan menjadi kebanggaan masyarakat kita pada masa hadapan. Di sini PM ada muatnaikkan video rancangan "Oman Baku", marilah saksikan bersama-sama. 

Sekian, terima kasih.



Tuesday, 26 March 2013

Kata Majmuk...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Bagi entri kali ini, kita sama-sama akan meneliti tentang aspek kata majmuk dalam bahasa Melayu. Kata nama majmuk ini sebenarnya terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata nama majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu tidak boleh disisipkan sebarang unsur.

Baiklah, buat pengetahuan kita bersama, kata nama majmuk dalam bahasa Melayu ini sebenarnya besar jumlahnya. Kata nama majmuk dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu yang pertama ialah kata nama majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas seperti guru besar, tengah hari, urus setia, dan atur cara. Jenis kata majmuk yang kedua ialah kata majmuk yang merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah seperti deria rasa, temu duga, dan cari gali manakala, jenis yang ketiga pula ialah kata majmuk yang mendukung maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa sepert cakar ayam, pilih kasih, dan bulan madu.

Selain itu, terdapat juga bentuk kata majmuk yang telah mantap. Kata majmuk yang telah mantap ini bermaksud bahawa terdapat beberapa perkataan yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh walaupun perkataan tersebut mempunyai dua kata dasar. Sebagai kata majmuk yang utuh, kedua-dua perkataan tersebut dieja secara bercantum sebagai satu perkataan. Antaranya ialah:

antarabangsa
pesuruhjaya
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
warganegara
olahraga
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
matahari

Sekiranya kita perasan, terdapat juga kesalahan penggunaan kata majmuk yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita, terutamanya dalam penulisan di akhbar sebagai contoh. Walaupun seseorang wartawan itu mempunyai kemahiran untuk menulis sesuatu berita atau rencana dengan baik, tetapi didapati masih lagi terdapat kesalahan dalam penggunaan kata majmuk yang ditemui dalam penulisan yang dihasilkan. Umum mengetahui bahawa media massa seperti surat khabar merupakan salah satu sumber maklumat yang mudah didapati sejak dahulu lagi. Masyarakat diajar untuk memartabatkan bahasa Melayu sedangkan medium penyampaian maklumat yang berbahasa Melayu itu sendiri goyah praktiknya dalam bidang linguistik bahasa Melayu. Oleh itu, pihak editor sesuatu akhbar perlu melihat masalah yang berlaku ini dengan lebih mendalam agar masalah seperti ini dapat dibendung. Sama-samalah kita menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa ilmu yang terus disanjung tinggi.

Sekian, wallhu'alam...

Gambar 1: Kesalahan ejaan perkataan PASARAYA sebagai kata majmuk. Sepatutnya perkataan tersebut dieja secara terpisah, iaitu PASAR RAYA.




Monday, 18 March 2013

Bunga Bahasa...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada kali ini Puteh Melati (PM) ingin berbincang tentang peribahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. Peribahasa berfungsi untuk menyerikan sebarang bahasa dan memberikan nafas baru kepada bahasa sebagai alat perhubungan yang dinamis. Dinamis bermaksud bahawa bahasa tersebut boleh berubah-ubah dan tidak statik sifatnya. Pada zaman dahulu, peribahasa sering digunakan oleh orang Melayu untuk menyatakan sesuatu perkara. Peribahasa yang digunakan lazimnya terdiri daripada kata-kata kiasan atau sindiran. Hal ini dapat dilihat menerusi contoh peribahasa Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Sekiranya diteliti secara tersurat, peribahasa ini jelas menggambarkan bahawa janganlah mendirikan rumah atau tinggal di tepi pantai sekiranya takut dilambung ombak. Namun, secara tersiratnya peribahasa ini merupakan kiasan yang mengandung kata-kata sindiran yang bermaksud untuk memberi perangsang kepada orang-orang yang lemah, tetapi ingin mengerjakan sesuatu pekerjaan yang merbahaya. Oleh itu, jelaslah bahawa peribahasa ini mampu menggambarkan sesuatu maksud yang tersendiri dan bagi memahami maksud sebenar sesuatu peribahasa itu perlulah diteliti berdasarkan maksud tersiratnya, bukan hanya maksud tersurat peribahasa tersebut.

Tanpa disedari sebenarnya orang Melayu pada zaman dahulu sememangnya mempunyai daya kekreatifan yang agak tinggi danboleh disanjungi. Hal ini dapat dilihat menerusi kejayaan mereka mencipta pelbagai jenis peribahasa yang masih lagi digunakan hingga ke hari ini sesuai dengan peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sebenarnya, peribahasa dalam sesuatu bahasa mempunyai peranannya yang istimewa. Peribahasa bukan sekadar memperkaya khazanah bahasa, malahan lebih daripada itu. Hal ini demikian kerana, sesuatu peribahasa itu sebenarnya berperanan untuk menonjolkan pandangan hidup, nilai, sikap, cara berfikir dan kepekaan masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu terhadap persekitaran sekelilingnya. Jadi, tidak dapat dinafikan lagi bahawa sesuatu peribahasa itu terhasil daripada pandangan seseorang terhadap perkara-perkara yang berada di sekitarnya.

Oleh itu, sebagai warga yang perihatin terhadap keunikan bahasa, kita perlu menyanjung tinggi khazanah bahasa yang mempunyai ciri keunikannya yang tersendiri ini agar berkekalan pada masa hadapan. Jadi, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk memartabatkan keaslian bahasa kita dengan mempraktikkan penggunaannya dalam urusan kita seharian. Wassalam.

Sila klik imej untuk lebih memahami artikel ini.



Adab bermasyarakat.

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada kali ini Puteh Melati (PM) ingin berkongsi sedikit pengalaman berkaitan dengan masyarakat kita pada hari ini. Memandangkan hari ini PM hanya mempunyai satu kelas sahaja pada sebelah petang, jadi pada waktu tengah hari PM dan rakan tersayang pergi menjamu selera di sebuah kedai makan yang terletak berhampiran Pintu Selatan di institusi tempat PM menuntut ilmu.

Pada waktu tersebut, kelihatan begitu ramai warga tempatan yang singgah untuk menjamu selera di kedai makan berkenaan. Pelbagai jenis lauk-pauk yang telah disediakan untuk menarik atau membuka selera para pengunjung. Boleh dikatakan agak rambang mata jugalah untuk memilih juadah yang berkenan di hati. Harga yang dikenakan oleh pemilik kedai makan tersebut juga amat berpatutan dan hal ini membuatkan orang ramai gemar menjamu selera di kedai makan tersebut.



Hendak dijadikan cerita, terdapat sekumpulan remaja yang berusia sekitar awal 20-an turut menjamu selera di kedai makan berkenaan. Disebabkan hanya terdapat satu meja sahaja yang masih kosong, kebetulan pula meja itu terletak bersebelahan dengan kumpulan remaja tersebut, maka kami pun duduklah di situ untuk menjamu selera. Berdasarkan kepada pemerhatian PM, kumpulan remaja tersebut terdiri daripada lima orang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan. Kedengaran mereka begitu rancak sekali bersembang sesama mereka. Pelbagai topik yang mereka bincangkan. Bermula dengan perkara yang melibatkan pelajaran sehinggalah kepada perkara yang merapu-rapu. Mereka seolah-olah tiada urusan yang lebih penting untuk dilakukan. Kerancakan mereka bersembang itu tanpa disedari telah mengganggu ketenteraman  pelanggan lain yang sedang menjamu selera. Di tambah pula dengan ketawa terbahak-bahak yang menjengkelkan apabila disertai oleh remaja perempuan tersebut. Adakah remaja perempuan tersebut tidak berasa kekok apabila bergaul dengan lima orang remaja lelaki pada satu-satu masa? Nah, inilah lumrah remaja kita pada hari ini. Ada dalam kalangan mereka yang merokok di kedai tersebut sambil berborak-borak. Sedar atau tidak, perbuatan merokok di tempat awam merupakan sikap yang amat buruk kerana asap dan bau rokok yang yang dikeluarkan telah mengganggu persekitaran dan tambahan pula tempat tersebut merupakan kedai makan.

Sebagai rumusan, pada pandangan PM, kita perlu sedar bahawa kita menjalani kehidupan bermasyarakat. Jadi, kita masing-masing perlu berfikir tentang baik-buruk sesuatu perkara yang kita lakukan sebelum perkara tersebut menimbulkan rasa kurang sengan kepada orang di sekeliling kita. Wallahu'alam.

Sunday, 17 March 2013

Perpaduan teras pembanguan negara.





Perpaduan teras pembanguan negara


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, iaitu Tun Abdul Razak merupakan Bapa Perpaduan negara kita. Malaysia mencapai kemerdekaan pada awalnya juga didorong oleh semangat perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyatnya. Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, perpaduan merupakan faktor yang penting bagi memastikan pembangunan negara berjalan lancar. Hal ini demikian kerana sekiranya tiada sikap bersatu-padu dalam kalangan rakyat, maka segala usaha yang dilaksanakan akan terbantut sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebenarnya terdapat banyak kelebihan yang dapat dinikmati oleh rakyat sekiranya semangat perpaduan wujud dalam kalangan masyarakat sesebuah negara. Keadaan ini bersesuaian dengan slogan, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Lanjutan daripada ini, sekiranya rakyat dalam sesebuah negara saling membantu, maka akan wujud semangat untuk mengambil berat tentang masalah sesama kita. Oleh itu, semua masalah dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong boleh dilaksanakan di sesuatu kawasan petempatan dengan melibatkan seluruh penduduk di kawasan tersebut tanpa mengira kaum untuk membersihkan kawasan yang kotor atau semak. Jadi, tidak akan timbul rasa tidak puas hati sesama mereka kerana masing-masing mempunyai rasa tanggungjawab untuk melaksanakan perkara tersebut, bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Selain itu, perpaduan yang mantap dalam kalangan rakyat juga berupaya membuka mata para pelancong asing dari luar negara untuk melancong ke sini. Oleh itu, hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara melalui kemasukan pelancong asing tersebut. Perpaduan yang ditunjukkan dalam kalangan rakyat juga memberi imej yang positif kepada mereka dan keadaan ini akan membuatkan mereka mula mengagumi negara kita. Oleh itu, tidak mustahil pada masa akan datang, mereka akan kembali melancong ke negara kita. Jadi, sedikit-sebanyak melalui kemasukan pelancong-pelancong asing ini akan membuatkan negara kita mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seperti negara maju yang lain.


Konklusinya, kita sebagai rakyat yang sayang akan negara kita perlulah menjaga semangat perpaduan sesama kaum yang telah lama wujud di negara kita ini agar kedamaian yang ada di Malaysia ini dapat dikekalkan dan diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Oh..Fesyen!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Kebelakangan ini jika kita lihat, remaja mudah sungguh terpengaruh dengan gaya fesyen yang pelbagai dan kebanyakannya merupakan fesyen yang pelik-pelik. Kita juga selalu mendengar bahawa ada dalam kalangan remaja yang mudah melenting jika ditegur tentang cara mereka berfesyen. Ada antara mereka yang menjawab sebegini apabila ditegur, "Saya selesa dengan apa yang saya pakai  dan saya tidak peduli pada apa yang orang lain kata". Walaupun sebenarnya pakaian yang mereka pakai itu sememangnya menjolok mata. Tidak dapat dinafikan bahawa ada juga rakan-rakan kita sendiri yang berpakaian sedemikian. Oleh itu, kita perlu menegur mereka secara berhemah, bukannya dengan cara membuta tuli sahaja.

"Utamakan kelembutan dalam berbahasa"

Baiklah, bagi membuka minda rakan-rakan kita yang berfesyen secara keterlaluan itu, kita perlu bijak menangani mereka. Apabila mereka mengatakan "... tidak peduli dengan kata-kata orang lain", kemudian kita tambah lagi soalan itu kepada mereka, "Apa pula yang Allah kata?". Cuba kita tanya kepada mereka, "Tubuh badan awak yang sempurna ini, siapa yang berikan? Bayangkan awak bangun tidur pada keesokan harinya, kemudian awak langsung tidak boleh menggerakkan anggota badan awak. Apa yang awak mahu lakukan?"

Jika kita hanya memikirkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain, maka hubungan kita sesama insan akan musnah. Kita sebenarnya mempunyai hak dalam perhubungan untuk dijaga. Apabila kita mengenakan pakaian yang menjolok mata, sebenarnya kita melanggar hak manusia lain. Hal ini demikian kerana kita dalam ajaran Islam diamanahkan untuk menjaga mata dan penglihatan kita. Sekiranya hal yang sebaliknya berlaku, maka kita sebenarnya telah menzalimi diri kita sendiri.

Sebagai umat Islam, kita sebenarnya bertanggungjawab atas diri kita sendiri. Setiap kali kita berpakaian, kita mempunyai dua pilihan, sama ada mahu memilih syurga atau api neraka. Jadi, sama-samalah kita renung diri kita dan segera membuat perubahan ke arah perkara-perkara yang lebih baik dalam kehidupan.


Dialek dan semangat kenegerian.

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai latar belakang kehidupan rakyatnya yang berbeza-beza. Negara Malaysia terbahagi kepada beberapa buah negeri yang terletak di bahagian timur, barat, utara, dan selatan. Termasuk juga negeri Sabah dan Sarawak yang terletak di bahagian Malaysia timur. Oleh itu, bersadarkan kepada faktor geografi negeri-negeri tersebut, dialek atau bahasa daerah yang digunakan oleh penduduk di sesuatu kawasan itu berbeza dengan kawasan atau negeri yang lain. Di Malaysia terdapat pelbagai dialek atau bahasa daerah yang digunakan dalam proses berkomunikasi sesama masyarakat. Contohnya dialek Utara, Selatan, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, pelbagai bunyi perkataan yang akan dikeluarkan semasa proses komunikasi berlaku dalam kalangan masyarakat, terutamanya apabila berada di institusi pengajian tinggi. Hal ini demikian kerana para pelajar yang menuntut ilmu di universiti ini datang dari pelbagai negeri. Oleh itu, pelbagai bahasa daerah atau dialek yang akan kedengaran semasa mereka berkomunikasi. Situasi seperti ini sememangnya merupakan keunikan yang tersendiri yang terdapat di negara kita. Selain menyerikan suasana, kepelbagaian bahasa daerah atau dialek yang digunakan juga dapat meningkatkan pengetahuan kita tentang bahasa daerah yang lain yang terdapat di Malaysia. Jelaslah bahawa ilmu itu ada di mana-mana sahaja jika kita mahu mempelajarinya.

Namun begitu, terdapat juga dalam kalangan masyarakat kita yang kurang senang dengan penggunaan dialek yang pelbagai ini semasa proses komunikasi berlaku. Hal ini mungkin disebabkan dialek yang digunakan itu sukar untuk difahami bagi sesetengah orang. Sememangnya dialek tidak digunakan dalam urusan rasmi bagi memudahkan pemahaman semua pihak yang terlibat. Walau bagaimanapun, dialek sering digunakan semasa berkomunikasi sesama rakan pada kebiasaannya. Oleh itu, kita perlu mempunyai semangat ingin tahu atau perasaan dahagakan ilmu yang tinggi dalam diri supaya kita sentiasa inginkan pengetahuan tentang dialek negeri-negeri lain. Aktiviti bertukar-tukar pendapat tentang perbezaan dialek yang digunakan sedikit-sebanyak dapat mendekatkan kita dengan masyarakat lain. Jadi, penggunaan dialek yang berbeza-beza dalam urusan seharian, iaitu bukan urusan rasmi bukanlah satu permasalahan yang besar. Orang yang berfikiran sempit, masalah akan menjadi besar tetapi, orang yang berfikiran besar, masalah akan menjadi kecil. Oleh itu, benarlah kata pepatah 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.

Konklusinya, semua yang berlaku dalam diri kita sebenarnya bermula dalam minda kita. Jika kita bijak mengurus minda kita, maka perbuatan kita juga akan terurus dengan baik. Marilah sama-sama kita belajar untuk menghargai orang jika kita mahu orang menghargai kita.




Sunday, 10 March 2013

Lembut dalam teguran...


Assalamualaikum...

Cerita pada kali ini bekisar tentang sikap segelintir ibu bapa atau orang dewasa yang sering memarahi anak-anak mereka di hadapan khalayak atau saudara-mara mereka sendiri. Sebagai orang yang lebih tua dan mempunyai pengalaman hidup serta ilmu yang tinggi dalam kehidupan, kita sepatutnya tidak memiliki sifat sedemikian yang suka menengking atau merendah-rendahkan anak kita sendiri di hadapan orang ramai. Tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak perlu ditegur akan kesalahan yang mereka lakukan, namun cara untuk kita menegur mereka juga perlu kena pada tempatnya. Dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, terdapat juga ibu bapa yang sebenarnya sengaja menegur anak-anak tentang kesalahan yang dilakukan itu di hadapan saudara-mara kerana sifat ego ibu bapa itu sendiri. Bagi ibu bapa yang tidak dapat menerima pandangan orang lain, mereka lebih cenderung untuk menunjuk-nunjuk akan sifat 'jumud' mereka itu dihadapan saudara-mara mereka sendiri. Sebagai contoh, sekiranya sifat ego yang menebal dalam diri ibu bapa tidak dapat ditangani dengan berkesan, maka mereka langsung tidak akan mengalah di hadapan saudara-mara, terutamanya dalam soal mendidik anak-anak. Hal seperti ini yang menyebabkan mereka sanggup mengaibkan anak mereka sendiri di hadapan saudara-mara.

Perlu diingat, walaupun anak-anak langsung tidak melawan tindakan kita itu, akan tetapi kita sebagai orang yang lebih matang perlu menjaga air muka mereka di hadapan saudara-mara. Anak-anak yang kian meningkat dewasa seperti itu juga mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga. Takut-takut, suatu masa nanti anak-anak yang kita jatuhkan maruahnya itu hanya berkelakuan baik di hadapan kita sahaja, pijak semut pun tak mati. Di belakang kita, sebaliknya pula yang berlaku.

Oleh itu, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan dalam proses mendidik anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Kita perlu berlemah-lembut dalam menegur kesalahan yang telah mereka lakukan agar mesej yang ingin disampaikan itu dapat diterima dengan lancar dan jelas. Jika kita beri aura yang positif kepada mereka, InsyaAllah tindak balas positif juga yang akan kita terima daripada mereka. Wallahu'alam.

Wabak yang kian menular...

Assalamualaikum...

Bagi entri pada kali ini, kita terus menjurus kepada tajuk yang telah dipaparkan di atas, iaitu 'wabak yang kian menular'. Hah? Wabak apakah yang kian menular ini? Adakah wabak penyakit berjangkit seperti yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu? Tidak...tidak sama sekali. Wabak yang dimaksudkan oleh Puteh Melati(PM) ialah wabak atau penyakit kesalahan ejaan atau percampuran kod bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sedar atau tidak, gejala seperti ini kian menular dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Isu ini sememangnya perlu ditangani dengan kadar segera agar wabak ini dapat ditangkis daripada terus merayap dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, namun bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar di negara ini. Oleh yang demikian, kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar perlu dijaga kemurnian dan keasliannya agar bahasa ini mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Masyarakat pada hari ini perlu memainkan peranan masing-masing agar hal seperti ini tidak berleluasa. Sebagai contoh, sebelum satu-satu papan tanda itu dipamerkan kepada umum, pihak pengurusan yang terbabit perlu mendapatkan khidmat nasihat tentang aspek penggunaan tatabahasa yang betul daripada pakar bahasa terlebih dahulu. Jadi, lama-kelamaan masalah seperti ini akan dapat dikikis.



Masalah kesalahan ejaan atau percampuran kod bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ini dapat dilihat sekiranya kita sebagai warganegara, betul-betul meneliti setiap papan tanda yang kita lihat tidak kira sama ada di tepi jalan, di stesyen minyak atau di restoran sekalipun. Sebagai contoh dalam ayat berikut, 'tolong jangan letakkan kenderaan anda di hadapan pump angin'. Terdapat dua kesalahan bahasa dalam ayat tersebut, iaitu yang pertama ialah penggunaan ayat permintaan dan ayat larangan secara serentak. Perkataan 'tolong' dan perkataan 'jangan' tidak boleh digunakan secara serentak kerana perkataan 'tolong' tergolong dalam ayat permintaan manakala perkataan 'jangan' pula tergolong dalam ayat larangan. Kesalahan yang kedua ialah perkataan 'pump' dalam bahasa Inggeris sepatutnya dieja sebagai 'pam' dalam bahasa Melayu.

Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Jadi, sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita hendaklah sama-sama berganding bahu bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan segera menambahkan ilmu dalam bidang tatabahasa bahasa Melayu itu sendiri. Slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' perlu dibuktikan kesahihannya selari dengan makna yang terkandung di dalamnya.

Saturday, 9 March 2013

Ilmu itu ada di mana-mana sahaja...

Assalamualaikum...

Pada mulanya, kita tidak berupaya untuk menilai keperibadian seseorang dengan melihat kepada aspek luaran seseorang itu semata-mata. Namun begitu, ramai dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini masih berpegang kepada perkara yang sebegitu. Hal seperti ini berlaku atas beberapa faktor yang tertentu, misalnya cara pemikiran seseorang yang tinggal di kawasan bandar adalah amat berbeza dengan cara seseorang yang tinggal di kawasan luar bandar berfikir. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan tahap ilmu yang dimiliki oleh kedua-dua insan ini adalah berbeza. Insan yang banyak atau mendalam ilmunya tentang ilmu psikologi manusia misalnya, mampu mengawal pemikirannya dengan lebih baik berbanding dengan insan yang tidak ada ilmu sedemikian.

Lazimnya, terdapat perbezaan yang ketara antara mereka ini, terutamanya dari segi pemikiran dan tanggapan mereka terhadap orang lain. Sebagai contoh, A(tinggal di bandar). Sebagai warga kota, A mempunyai impian yang besar dalam hidupnya, iaitu untuk memajukan dirinya setelah melihat ramai warga kota yang lain mempunyai kehidupan yang lebih baik daripanya. Jadi, A sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah menyalahkan orang lain dalam menentukan hala tuju hidupnya walaupun A telah menempuh pelbagai cabaran dan halangan dalam usaha dia meningkatkan taraf hidup dirinya dari segi pendidikan, ekonomi, jaringan sosial dan tempat tinggal yang selesa. Cara pemikiran A untuk memajukan diri ke tahap yang lebih baik sering mendapat tentangan daripada kaum keluarganya yang tinggal di kawasan pedalaman. Nah, apabila berlaku sedemikian adakah A terus melupakan impiannya untuk mengubah hidupnya? Dengan ilmu yang dimiliki, A sama sekali tidak menghiraukan pandangan atau cakap-cakap kaum keluarganya yang sentiasa berfikiran negatif itu.

Bagi A, selagi perkara yang dilakukannya itu tidak bertentangan dengan hukum Islam, dia akan terus melakukannya. Adakah menjadi satu kesalahan sekiranya A mempunyai impian yang besar dalam hidupnya dan dia berusaha ke arah itu dengan jalan yang betul. Akhirnya dengan menggunakan kudrat dan tenaganya secara maksimum, A berjaya memiliki sebuah kereta dengan hasil titik peluhnya sendiri. A merupakan seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi tempatan. Di samping menuntut ilmu, dia juga menjalankan perniagaan menjual dadih dan khidmat katering air balang untuk majlis kenduri kahwin dan keraian yang lain. Hasil daripada perniagaan itulah yang membolehkan dia membeli sebuah kereta dengan bayaran tunai.

Walau bagaimanapun, dia tidak pernah menyalahkan kaum keluarganya yang tidak dapat berfikir di luar kotak itu. Barangkali mereka bimbang kalau-kalau A akan mengabaikan pelajaran sekiranya dia melibatkan diri dalam bidang perniagaan ketika masih belajar. Namun dengan rekod yang baik yang ditunjukkan oleh A, akhirnya dia berjaya membuka minda kaum keluarganya tentang usahanya itu.

Baiklah, di sini Puteh Melati(PM) ingin memberi sedikit pandangan. Bagi PM, A merupakan seseorang yang mempunyai impian yang besar dalam hidupnya. Hal ini kita dapat lihat apabila dia sanggup bekerja keras untuk memastikan impiannya itu tercapai dengan cara yang betul. Dia juga merupakan seorang yang bijak mengawal pemikiran dan emosinya tentang sesuatu perkara. Sebagai contoh, dia menerima pelbagai tentangan daripada kaum keluarganya, tetapi dia langsung tidak membiarkan impiannya itu terus terkubur begitu sahaja dan dia juga tidak sama sekali berperang mulut dengan mereka. Sebaliknya dia beranggapan yang baik-baik sahaja terhadap mereka dan akhirnya dengan sikapnya yang sedemikian itu telah berjaya membuatkan  mereka menjadi lebih terbuka cara pemikirannya. Baiklah, bagi PM, jika kita mempunyai impian yang besar, kita mesti berusaha ke arah itu dengan cara yang diredhai seperti yang dilakukan oleh A dan keupayaan untuk mengawal emosi dengan baik sangat diperlukan bagi menjaga hubungan sesama ummah.



Ilmu itu ada di mana-mana sahaja, kutiplah walaupun sekelumit...

Thursday, 7 March 2013

Ceritera kehidupan...

Assalamualaikum w.b.t....

Mula-mula sekali Puteh Melati (PM) nak tanya...ceritera tu apa maksudnya ya? PM pn tak berapa nak pasti sangat, mungkin cerita kot maksudnya...hehe...agaknya la kan..

Baiklah pada kali ini PM ingin berkongsi satu kisah yang berlaku dalam kehidupan PM sendiri. Kisah seperti ini juga mungkin pernah berlaku kepada anda. Jeng...jeng...jeng... apakah kisahnya??? Begini, PM yakin bahawa ramai dalam kalangan pengunjung blog ini mesti pernah melalui alam remaja kan? Jadi, masing-masing ada pengalaman yang tersendiri dalam kehidupan kita, terutamanya dalam proses menuntut ilmu. Tidak kiralah sama ada di peringkat sekolah atau universiti.

Mengimbau kembali zaman persekolahan pada suatu ketika dahulu. Kisah ini berlaku semasa PM berada di sekolah menengah. Semasa PM berada di tingkatan satu pada 10 tahun yang lalu, terdapat seorang guru perempuan yang ditugaskan untuk mengajar salah satu mata pelajaran bagi kelas PM sendiri. Beliau seorang yang baik budi pekertinya. Sopan-santunnya yang tinggi membuatkan para pelajar menaruh rasa hormat yang tinggi kepada beliau. Sikap beliau yang suka mengambil berat akan masalah pelajar yang berkaitan pelajaran membuatkan beliau menjadi seorang guru yang begitu disenangi oleh PM dan juga rakan-rakan yang lain. Namun begitu, kejelasan suara yang dilontarkan oleh beliau semasa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) berlangsung amatlah tidak memuaskan hati semua. Hal ini menyebabkan komunikasi antara kami menjadi terganggu kerana maklumat yang ingin disampaikan oleh beliau itu tidak dapat diterima oleh kami dengan sepenuhnya. Bagi mengelak prasangka yang negatif terhadap beliau, PM menganggap bahawa mungkin beliau ada sebab tersendiri untuk bersuara dengan agak perlahan. Barangkali beliau ingin menjaga suaranya agar sentiasa membatasi aurat.

Seterusnya, mungkin sudah ditakdirkan sekali lagi untuk PM berhadapan dengan perkara yang sama ketika menuntut ilmu di peringkat universiti. Walau bagaimanapun, guru (pensyarah di universiti) pada kali ini bukan seorang wanita, sebaliknya seorang lelaki. Hal yang sama juga berlaku, iaitu seperti sewaktu PM berada pada peringkat persekolahan. Seorang pensyarah lelaki yang kejelasan suaranya amat terbatas. Oleh itu, proses komunikasi menjadi sedikit terganggu akibat faktor ini. Sekali lagi PM memilih untuk tidak memberi pandangan yang negatif terhadap beliau. PM menganggap mungkin beliau mengalami sedikit kekurangan dari segi kejelasan suara (faktor fizikal) semasa berinteraksi dengan khalayak yang ramai. Namun begitu, beliau merupakan seorang pensyarah yang mempunyai tahap pencapaian yang sangat membanggakan. Jadi, kenapa harus kita fokuskan pada kekurangan yang sedikit itu sedangkan banyak lagi kelebihan lain yang terdapat pada diri beliau itu sendiri.

Baiklah, di sini PM ini membuat sedikit kesimpulan bahawa kita sebagai hamba Allah s.w.t. tidak perlu untuk  melihat kekurangan yang terdapat pada diri orang lain. Tidak perlu untuk kita bersungguh-sungguh menghakimi orang lain sedangkan diri kita sendiri masih banyak yang perlu diperbaik. PM sentiasa berpegang dengan satu prinsip yang diajar oleh mentor PM sendiri, iaitu kita masing-masing perlu renung dalam diri kita terlebih dahulu sebelum memerhati atau menghakimi diri orang lain. Sesungguhnya kita sebagai hamba Allah s.w.t. tidak berupaya menggerakkan hati orang lain untuk berubah ke arah yang lebih baik melainkan Allah jualah yang Maha Berkuasa untuk membuka pintu hati mereka. Oleh itu, sama-samalah kita merenung dengan mata hati, pasti akan terbuka kunci.



Wednesday, 6 March 2013

Celik mata dan set semula minda kita...

Assalamualaikum...

Tinta pada kali ini bertajuk "celik mata dan set semula minda kita". Entri ini tercetus hasil daripada tindakan yang tidak dirancang langsung pada mulanya. Keadaan ini berlaku apabila perasaan bosan mula muncul kerana tiada sebarang aktiviti luar yang dilakukan pada sebelah pagi pada hari ini. Kebiasaannya, kuliah bermula pada awal pagi pada hari-hari sebelumnya, namun tidak pula pada hari ini. Oleh itu, setelah "terbangun" awal pada pagi tadi, maka Puteh Melati (PM) pun terpinga-pinga dibuatnya. Setelah itu, terus PM menekan butang 'power' pada laptop untuk melayari internet bagi mengetahui perkembangan semasa. Laman Youtube menjadi pilihan utama untuk dilawati pada pagi ini. Hasrat pada awalnya hanyalah ingin menonton slot-slot drama Melayu yang terlepas untuk ditonton di kaca televisyen, namun sebaliknya pula yang berlaku. PM terjumpa beberapa klip video yang sangat-sangat menarik perhatian PM untuk menontonnya. Klip video yang dimaksudkan ialah deretan klip video motivasi yang disampaikan oleh seorang wanita yang ahli tentangnya. Beliau yang dimaksudkan ialah Profesor Dr. Muhaya. Beliau merupakan seorang doktor perubatan yang pakar dalam bidang perubatan mata.

Prof. Dr. Muhaya

Dalam ceramah-ceramah yang disampaikan banyak perkara baharu yang telah dipelajari. Beliau ada menjelaskan bahawa kita sebagai manusia perlu 'memberi' kepada orang lain, maka lebih mudah kita akan mencapai perkara tersebut. Ramai dalam kalangan kita yang sering menyalahkan orang lain sekiranya berlaku sesuatu masalah. Keadaan seperti ini terjadi disebabkan kita sentiasa merasa bahawa diri kita sahaja yang betul dalam semua hal. Sikap seperti ini perlu dibendung sejak awal lagi agar tidak menjadi lebih parah pada masa yang mendatang. Menurut beliau, setiap apa-apa yang tercetus dalam diri kita, maka perkara itulah yang akan kita terjemahkan melalui perbuatan kita. Setiap perkara yang tercetus dalam hati kita akan lahir dalam setiap tindakan kita. Sekiranya kita sering memandang negatif tentang orang, maka kita sentiasa akan berfikiran negatif tentang seseorang itu. Tidak ramai dalam kalangan kita yang merenung ke dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum mula menuding jari kepada orang lain. Bagi kita, semuanya orang yang salah...kita sentiasa betul. 

Tidak dapat dinafikan juga bahawa kadang-kadang terdapat perkara-perkara tertentu yang membuatkan kita berasa hilang sabar tentangnya. Tambahan pula perkara itu disebabkan oleh seseorang yang kita sedia maklum tentang sifatnya yang kita kurang senangi. Nah, di sinilah emosi dalaman kita benar-benar diuji. Sebagai hamba Allah s.w.t., kita tidak dapat mengubah hati orang untuk mereka mengubah sikap mereka itu. Jadi, bagi memudahkan masalah ini diatasi, kita perlu mengubah situasi persekitaran tersebut. Sebenarnya, terpulang kepada kita sendiri untuk memberi tindak balas tentang sesuatu insiden yang berlaku dalam kehidupan kita, antara positif atau negatif. Perlu diingat bahawa perkataan yang belum terungkap itu pada awalnya adalah milik kita, tetapi setelah diungkapkan perkataan tersebut telah menjadi milik orang lain. Orang yang banyak bercakap tanpa memberi peluang kepada orang lain untuk bersuara itu sebenarnya bukanlah contoh yang baik untuk diteladani. 

Jadi, sama-samalah kita merenung ke dalam diri masing-masing terlebih dahulu sebelum mula berfikiran negatif tentang orang lain yang berada di sekeliling kita.